Deuk ex Machina
Simple yet meanful…..

Jangan campur tangan…..

Pada tahun 1998, Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Al Gore telah melakukan kebiadapan apabila menyokong gerakan reformasi di Malaysia.

Kini selepas 10 tahun, AS yang cuba menjadi polis dunia sekali lagi cuba mencampuri urusan negara ini apabila Setiausaha Negaranya, Condoleeza Rice menggesa Malaysia supaya lebih telus dan mematuhi peraturan undang-undang dalam mengendalikan kes membabitkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam masa yang sama, beberapa lagi pemimpin dari negara barat turut membuat desakan kepada Malaysia iaitu bekas Perdana Menteri Kanada Paul Martin, Pengarah Urusan dan Pengerusi Lembaga Pengarah Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Michel Camdessus dan bekas Presiden Bank Dunia, James Wolfensohn.

Untuk rekod pada 17 Julai lalu, Pengerusi Jawatankuasa Hubungan Luar Senat AS, Joseph R.Biden Jr. turut mengeluarkan kenyataan mengecam Malaysia kerana menangkap Anwar berikutan dakwaan meliwat pembantu peribadinya.

Bagi mereka, apa yang dihadapi oleh Anwar adalah satu konspirasi dan pakatan jahat yang bermotifkan politik.

Hakikatnya, biarlah kesemua mereka itu ibarat anjing menyalak bukit. Malaysia mempunyai kedaulatannya sendiri dan tidak ada mana-mana pun negara di dunia berhak mencampuri urusan dalaman negara ini.

Kita tidak mahu bercakap apa istimewa Anwar sehingga beliau begitu disokong oleh AS dan pemimpin-pemimpin berkenaan.

Tetapi apa yang pasti, itu bukanlah alasan untuk Malaysia tunduk kepada kuasa asing. Rice seharusnya memahami bahawa AS adalah sebuah negara yang tidak berhak sama sekali bercakap soal keadilan, hak asasi dan demokrasi.

Malah sebagai seorang Setiausaha Negara yang dianggap mempunyai prestasi paling buruk dalam sejarah AS, Rice seharusnya mendapat fakta yang tepat mengenai isu Anwar sebelum membuat sebarang ulasan.

Rice seharusnya lebih prihatin terhadap dosa-dosa AS di Afghanistan, Iraq dan Palestin. Apakah tindakan kuasa besar itu di negara berkenaan dianggap demokrasi? Apakah ia dianggap demi mempertahankan hak asasi?

Tidak perlu AS begitu teruja untuk mencampuri urusan perundangan melibatkan seorang bekas pemimpin di Malaysia.

DosaNegara ini mempunyai Perlembagaan, undang-undang dan peraturannya sendiri. Justeru sudah pasti Malaysia tahu bagaimana hendak menyelesaikan apa juga masalah yang terjadi.

Oleh itu adalah lebih baik AS diam! biarlah pemimpin yang mereka suka itu menjalani proses undang-undang yang termaktub dalam perlembagaan Malaysia.

AS hakikatnya sudah banyak melakukan dosa menjatuhkan pemimpin secara tidak demokratik, mereka juga sudah banyak merancang konspirasi dalam usaha menakluk negara-negara Islam. Oleh itu mereka beranggapan orang lain juga mempunyai pemikiran kotor seperti mereka.

Atas sebab itulah mereka mempunyai prasangka buruk terhadap Malaysia biarpun hakikatnya apa yang berlaku sekarang hanyalah satu dakwaan perbuatan jenayah biasa yang harus disiasat secara terperinci. AS tidak perlu menjalarkan tangan mereka yang kotor dan penuh dosa itu untuk mengganggu gugat kedaulatan negara ini.

Seperti mana kata Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim, Malaysia mengikut undang-undang jenayah Komanwel iaitu sama seperti diamalkan di Singapura, India dan beberapa negara lagi.

Oleh itu AS tidak perlu hendak mengajar Malaysia bagaimana hendak memahami undang-undang. Malah hakikatnya dari segi demokrasi dan hak asasi, AS mempunyai rekod yang lebih buruk daripada Malaysia.

AS tidak berhak bercakap soal keadilan selagi kem Guatamao terus beroperasi. AS tidak layak bercakap soal hak asasi selagi mereka terus menjajah Iraq dan AS tidak berhak bercakap soal ketelusan selagi mereka menyokong kuat Israel menyerang Palestin.

Mungkin Rice mempunyai masalah krisis identiti dalam melaksanakan tugasnya tetapi beliau perlu memahami bahawa Malaysia bukanlah sebuah negara yang mudah diperkotak-katikkan oleh mana-mana kuasa asing.

Justeru Rice yang dianggap oleh media barat hanya bijak melambaikan tangan berbanding menjalankan tugas perlu memahami peringatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi yang mahu masyarakat antarabangsa menghormati hak kedaulatan negara ini.

Begitu juga dengan Martin, Camdessus dan Wolfensohn. Ketiga-tiga manusia ini tidak layak untuk mencampuri urusan dalaman Malaysia.

Kita tidak tahu apa motif Martin yang mahu tuduhan ke atas Anwar digugurkan, mungkin itulah yang dilakukan olehnya ketika menjadi Perdana Menteri Kanada apabila ada kes melibatkan rakan-rakan baiknya.

Adalah sesuatu yang malang apabila kenyataan Martin yang tidak lagi mempunyai kuasa boleh menggugat hubungan antara Malaysia dan Kanada.

Selama ini hubungan antara kedua- dua negara ini amat baik, oleh itu Martin tidak harus merasakan dirinya masih Perdana Menteri sehingga ingin mencampuri urusan perundangan Malaysia.

Bagi Wolfensohn dan Camdessus pula, mungkin mereka menganggap inilah saat terbaik untuk ‘membelasah’ Malaysia bagi melunaskan dendam lama ketika krisis kewangan pada tahun 1998.

Ini kerana ketika itu, hanya Malaysia sahaja yang tidak ‘menyembah’ IMF dan Bank Dunia untuk meminta bantuan berbanding beberapa negara lain.

Camdessus kecewa kerana pada tahun 1998 tidak berjaya berpeluk tubuh melihat Tun Dr.Mahathir Mohamad menandatangani perjanjian dengan IMF seperti mana beliau lakukan ke atas Presiden Republik Indonesia ketika itu, Suharto.

Justeru apabila tercetus peristiwa Anwar sekali lagi, maka mereka menganggap inilah saat terbaik untuk melepaskan dendam berkenaan.

Tetapi mereka terlupa Malaysia mempunyai maruah dan martabatnya sendiri. Malaysia tidak pernah tunduk kepada tekanan asing apabila berhadapan dengan apa juga isu dalamannya.

Kes Anwar adalah isu dalaman Malaysia. Ia adalah soal proses undang-undang justeru tidak ada mana-mana negara di dunia ini berhak untuk campur tangan.

PengajaranApa yang berlaku ini seharusnya memberikan pengajaran kepada rakyat Malaysia betapa kuasa asing hanya menanti masa sahaja untuk ‘menjajah’ negara ini. Kuasa asing seperti AS tidak mahu melihat mana-mana negara Islam seperti Malaysia menentang apa kata mereka.

Oleh itu segala usaha dilakukan untuk meremehkan kerajaan negara ini biarpun hakikatnya dari satu segi sudah pasti ramai rakyat AS sendiri tidak berpuas hati dengan tindak-tanduk kerajaan mereka. Berdasarkan hakikat itu adalah sesuatu yang malang jika kita mempunyai mana-mana pemimpin atau segelintir umat yang begitu berbangga apabila kononnya nasib mereka mendapat perhatian antarabangsa.

Bagi mereka, kononnya itulah kehebatan kerana kuasa-kuasa besar menyebelahi mereka. Tetapi mereka sengaja melupakan bahawa kuasa asing tidak membela membuta tuli.

Kelompok berkenaan pasti mempunyai agenda tersendiri terhadap setiap sokongan yang diberikan.

Kalau AS jujur, ikhlas, telus dan adil sudah pasti mereka tidak akan mencabuli kedaulatan Iraq dan Afghanistan.

Malah kalau AS itu baik sudah pasti mereka tidak akan menggunakan ribuan agen perisikan untuk mengkucar-kacirkan sesebuah negara yang tidak sehaluan dengan mereka.

Kajilah apa jadi dengan negara-negara yang menjadi mangsa campur tangan AS. Apakah mereka aman? Apakah mereka damai?

Oleh itu janganlah terlalu gembira dengan sokongan AS atau mana-mana kuasa asing kecualilah kalau kita berhasrat untuk menjadi pengkhianat kepada bangsa, agama dan negara sendiri.

No Responses to “Jangan campur tangan…..”

Leave a comment