Deuk ex Machina
Simple yet meanful…..

Jul
23

TARIKH 7 Mei 1983 tersemat di ingatan rakyat Malaysia apabila kerajaan menubuhkan syarikat kereta nasional pertama di negara ini, Perusahaan Otomobil Nasional (Proton).

Matlamat penubuhan Proton adalah untuk mengeluar, memasang dan menjual kereta jenama Malaysia serta produk-produk yang berkaitan seperti alat ganti, aksesori dan komponen-komponen lain.

PROTON

Dua tahun selepas menjalani pelbagai eksperimen – bermula daripada sekecil-kecil komponen hinggalah kepada pandu uji – maka lahirlah kereta pertama kebanggaan negara yang dinamakan sebagai Saga pada 9 Julai 1985.

Semangat, aspirasi serta rasa bangga pengasas Proton, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika itu meresapi minda rakyat Malaysia yang tidak sabar-sabar untuk memandu kereta jenama tempatan.

Saga menjadi anak sulung Proton yang kemudiannya melahirkan beberapa model baru iaitu Iswara, Satria, Tiara, Wira, Putera, Perdana, Satria GTi, Perdana V6, Waja dan yang terbaru Persona.

Lebih membanggakan apabila ‘anakanak’ Proton dibawa dengan megahnya menjenguk arena antarabangsa dan singgah di negara-negara seperti United Kingdom, Australia, Mauritius, Afrika Selatan, Mesir, Singapura, Iran, Indonesia, Taiwan, Pakistan, Turki, Thailand dan banyak lagi.

Itulah sejarah ringkas Proton yang kini telah mengeluarkan ratusan ribu kenderaan mampu milik untuk kegunaan rakyat Malaysia.

Biarpun ada cakap-cakap mengenai kereta jenama tempatan ini, namun siapa pun tidak boleh menyangkal bahawa anak-anak yang dilahirkan oleh Proton masih menjadi pilihan utama.

Setiap kali model baru Proton dilancarkan, tempahan yang diterima melimpah ruah, sebanyak mana sekali pun rungutan yang dilemparkan terhadap mutu kereta jenama itu tidak pernah menggugat pasaran Proton.

Proton sendiri tidak pernah berdiam diri atau selesa dengan jualan yang memberangsangkan. Kerja keras untuk memastikan jaminan kualiti sentiasa dilaksanakan dalam jatuh bangun syarikat kebanggaan negara itu untuk membina nama serta jenama.

Terbaru Proton Holdings Berhad melancarkan kempen kualiti yang menekankan komitmen syarikat itu dalam soal peningkatan kualiti selaras dengan matlamatnya untuk menjadi pengeluar bertaraf antarabangsa.

Penerokaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) termasuk dari sudut reka bentuk sentiasa menjadi keutamaan biarpun setiap kali mengeluarkan produk baru pasti kedengaran rungutan yang tidak berkesudahan.

Namun usaha penambahbaikan yang dilaksanakan oleh Proton menampakkan kesan yang amat ketara. Proton Persona, model kelima keluaran Proton sepenuhnya yang dilancarkan Ogos tahun lepas menerima pujian yang bukan sedikit.

Ia amat sejajar dengan falsafah penubuhan Proton itu sendiri iaitu mengeluarkan kereta untuk pasaran yang bersesuaian dan dijual pada harga berpatutan.

Namun di sebalik rasa bangga yang tersimpul sejak 25 tahun lalu, masih ada rakyat Malaysia yang tidak yakin jauh sekali untuk berbangga dengan produk yang dikeluarkan oleh Proton.

Secara terang-terangan mutu salah sebuah model Proton iaitu Perdana V6 Executive diperlekehkan sehingga tidak layak menjadi kenderaan rasmi exco dan pegawai kanan Kerajaan Negeri Terengganu.

Alasan kepimpinan negeri Penyu Menangis itu ialah kos penyenggaraan Proton Perdana terlalu tinggi, kereta itu juga mudah rosak dan tidak tahan untuk perjalanan jauh.

Lalu mereka memilih untuk membeli 14 buah kereta Mercedes E200 Kompressor yang bernilai RM3.43 juta semestinya bersandarkan alasan yang boleh mewajarkan penolakan Perdana V6.

Apa pun alasan yang dijaja oleh Menteri Besar Terengganu serta barisan exconya untuk membolehkan mereka bersandar di tempat duduk belakang E200 Kompressor itu tidak akan diterima rakyat dengan mudah.

Telah diketahui umum bahawa kenderaan rasmi kerajaan sama ada di peringkat Pusat ataupun negeri ialah Proton – bagi membuktikan kepimpinan melalui teladan dan menyokong industri kereta nasional.

Jika rakyat digesa menggunakan produk tempatan terutamanya kereta jenama sendiri maka di peringkat kerajaan amalan yang sama mesti dihayati malah lebih daripada itu.

Lebih menusuk perasaan ialah apabila kita membayangkan bentuk fizikal serta keluasan negeri Terengganu itu sendiri timbul persoalan perlukah para pegawainya menggunakan kereta sehebat itu.

Bandingkan pula dengan taraf hidup rakyat di negeri itu, ada yang masih dibelenggu kemiskinan tegar tetapi pada masa yang sama pemimpin yang diundi rakyat berselera besar.

Hakikatnya, RM3.43 juta mungkin kecil bagi barisan Exco serta Menteri Besar Terengganu apatah lagi royalti minyak menunggu masa untuk disalurkan ke negeri itu oleh Kerajaan Pusat.

Namun mengubah penampilan sederhana semasa berkempen pada pilihan raya umum lalu kepada satu imej yang amat bertentangan pasti tidak disenangi oleh rakyat jelata.

Ia juga menyebabkan rakyat menjadi keliru dan silap-silap haribulan berasa tertipu dengan trend kempen berkain pelikat dan menaiki kenderaan nasional hanyalah untuk memancing undi.

Perlu diingat kenderaan rasmi adalah untuk tugas rasmi di sebuah negeri yang bentuk fizikalnya tidak mencabar seperti di Sabah dan Sarawak.

Justeru mengungkit kos penyenggaraan yang tinggi selain kononnya Perdana V6 mudah rosak dan tidak tahan untuk perjalanan jauh hanya boleh diterima oleh sebahagian akal.

Manakala sebahagian lagi akal tidak boleh menolak fakta bahawa Mercedes E200 Kompressor jika dicalar oleh budak-budak nakal mahu saja kos untuk menutup kecacatan sekecil itu menelan belanja yang bukan sedikit.

Soal kemampuan kewangan kerajaan negeri Terengganu (jangan dilupa sumbernya adalah rakyat) untuk membeli kenderaan rasmi jenama Mercedes itu sememangnya tidak boleh dipertikaikan.

Biar kaya mana pun sesebuah kerajaan negeri itu, yang lebih penting dijaga ialah hati rakyat. Juga penting menyerlahkan kebanggaan terhadap kemampuan negara mengeluarkan kereta sendiri dengan cara menyokong industri tersebut.

Tiada gunanya Mercedes menjalar di jalan-jalan raya di Terengganu sedangkan kedudukannya masih di belakang negeri-negeri yang pemimpinnya menggunakan Perdana V6.

Advertisements
Jul
22

http://www.youtube.com/watch?v=7lrTWu1MdK0

Kerana Wanita Ingin Dimengerti

Kau indah hadirkan pesona                               
Kemuliaan bagi yang memandang
Setiamu simbol keanggunan
Dan perawan yang kau miliki
Akulah pengagum ragamu
Tak ingin ku menyakitimu
Lindungi dari sengat dunia yang mengancam
Nodai…Sucinya lahirmu

Ada band

Karena wanita ingin dimengerti                                
Lewat tutur lembut dan laku agung
Karena wanita ingin dimengerti
Manjakan dia…dengan kasih sayang                                                  

Ingin kuajak engkau menari
Bermandi hangat cahaya bulan
Sebagai tanda kebahagiaan
Dari semesta…Cinta kita

Bintang Terang itulah dirimu
Janganlah redup dan mati
Aku dibelakangmu memeluk
Dan…menjagamu

Jul
22

DAN hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua, dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri. (an-Nisaa’: 36)

Huraian

Dalam ayat ini termaktub perintah untuk beribadat kepada Allah dan melarang beribadat selain daripada Allah sama ada benda, manusia, haiwan, malaikat atau pun syaitan.

Kemudian suruhan agar berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa secara khusus dan juga agar berbuat baik kepada kaum keluarga secara umum.

Galakan berbuat baik kepada ibu bapa kerana fitrah manusia mudah lupa kepada orang yang banyak berjasa, memelihara dan mendidiknya sedari kecil. Apabila mereka telah uzur mereka sangat memerlukan pembelaan dan jagaan anak-anak mereka.

Sesungguhnya perintah Allah agar berbuat baik kepada kerabat yang memerlukan pertolongan seperti jiran tetangga, anak-anak yatim dan orang miskin. Semua ini adalah sesuai dengan fitrah semula jadi manusia yang memerlukan kasih sayang, suasana mesra dan saling bertimbang rasa supaya manusia dapat menjalani kehidupan dalam keadaan yang baik.

Seterusnya suruhan berbuat baik dengan cara meninggalkan sifat-sifat buruk seperti sifat sombong, riak, kedekut dan seumpamanya. Menjauhi sifat-sifat mazmumah sebegini mampu memantapkan kejernihan jiwa dan menepis sikap membangga-banggakan diri dalam kehidupan.

Kesimpulan

Al-Quran mengungkapkan bahawa Allah SWT mengasihi orang yang bersih dari melakukan syirik kepada-Nya, berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa, orang miskin, anak-anak yatim serta menjauhi sifat sombong, riak dan kedekut. Apabila semua perintah ini ditaati nescaya akan lahirlah masyarakat yang baik dan harmoni.

* Disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0721&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm